fbpx

Kumpulan pertama 280 jemaah haji Malaysia selamat tiba di tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im menyambut ketibaan para jemaah haji penerbangan pertama (KT001) dari Tanah Suci Bagi Musim Haji 1445H/2024M di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam tadi. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

SEPANG – Seramai 280 orang jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Kumpulan jemaah dari Kedah dan Kelantan itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) dengan pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251).

Mohd. Na’im berkata, perjalanan dan proses haji bagi tahun 1445H/2024M ini boleh dianggap berjaya dan dapat dilaksanakan dengan tertib.

Katanya, beliau bagi pihak Tabung Haji (TH) merakamkan rasa syukur dan amat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan semua pihak bagi memastikan segala urusan haji berjalan dengan lancar.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada TH kerana sekali lagi telah meletakkan sepenuh komitmen dalam menyampaikan perkhidmatan bermutu tinggi dan tatakelola pengurusan yang amat cekap.

“Kesungguhan yang dipamerkan TH terbukti dengan pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi melalui Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut baru-baru ini,” katanya.

Katanya, walaupun menghadapi beberapa keadaan mencabar seperti cuaca panas terik, namun kesemua jemaah dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, teratur dan tahap disiplin tinggi.

Katanya, beliau juga menjelaskan 71 jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan terlantar di Pusat Rawatan TH turut dibawa berwuquf di Arafah menggunakan lapan buah bas diubahsuai melalui program Safari Wuquf supaya mereka dapat menyempurnakan rukun haji yang kedua itu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Na’im berkata, setakat hari ini, seramai 18 jemaah haji negara, iaitu 13 lelaki dan lima perempuan berusia lingkungan 37 hingga 79 tahun, meninggal dunia di Tanah Suci. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI