HANOI – Sebuah kedai kopi yang terletak di tengah sawah padi di pinggir bandar raya Hanoi, menjadi destinasi hujung minggu popular dengan menarik ratusan pengunjung apabila musim menuai tiba, lapor laman berita VnExpress hari ini.
Pemilik kedai itu dikenali sebagai Tram Anh.
Menurutnya, dia mendapat inspirasi untuk membuka kafe tersebut ketika berbasikal ke Gunung Tram di daerah Chuong My.
Anh terpesona dengan pemandangan matahari terbenam yang memancarkan cahaya di atas sawah yang berwarna keemasan. Dia kemudian memutuskan untuk membuka kafe tersebut.
“Kehidupan di ibu kota amat sibuk. Jadi, saya ingin mewujudkan ruang di mana orang ramai boleh berehat dan menghirup udara segar di luar bandar,” jelasnya.
Sejak awal bulan ini, lokasi itu telah menarik kira-kira 100 pelanggan setiap hari, manakala seramai 400 hingga 500 pelanggan berkunjung pada hujung minggu untuk menikmati kopi dan mengagumi pemandangan sawah padi yang hendak dituai. – AGENSI