SHAH ALAM – Pendakwah selebriti, Ustaz Don kini disiasat berkaitan doktrin palsu susulan isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikannya.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ia susulan berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS.
Kata beliau, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap penceramah dengan nama sebenar Don Daniyal Don Biyajid itu di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Untuk rekod, seksyen itu menyatakan orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu bertentangan dengan Hukum Syarak atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Selangor.
“Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor semalam telah memutuskan Ustaz Don perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa tersebut.
“Ini berkaitan beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat olehnya selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut mengesahkan, JAIS pada 21 Jun 2024 lalu telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Ustaz Don untuk mengajar agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di premis masing-masing.
Ujarnya, ketetapan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan penceramah tersebut yang disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat berkenan dan menekankan kepada para pemegang tauliah agar umat Islam di negeri ini dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.
“Sehubungan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan berkata, pihaknya amat berharap agar semua pihak di Selangor dapat berkerjasama dan akur serta mematuhi arahan dikeluarkan pada 21 Jun lalu.
“Ini sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS,” katanya.
Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp mengenai notis dikeluarkan (JAIS) bertarikh 21 Jun lalu berhubung penangguhan program ceramah dan kuliah agama Ustaz Don di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musolla di Selangor.
Penangguhan membabitkan semua program yang telah mendapat persetujuan awal untuk dilaksanakan termasuk sebarang program yang sedang di peringkat perancangan.
Sebelum ini, Ustaz Don berusia 40 tahun ditamatkan khidmatnya oleh RTM sebagai pengacara program Salam Baitullah.
Pendakwah selebriti itu turut memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan di sebuah stesen radio berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha. – KOSMO! ONLINE