fbpx

Ibu maut dipercayai dibunuh anak sakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian seorang lelaki OKU mental dipercayai membunuh ibunya di Bahau pagi tadi

JEMPOL – Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Bahau, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 11.55 pagi membabitkan pergaduhan anak dengan ibu sehingga menyebabkan kematian.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati si mati berusia 63 tahun dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas lantai di hadapan halaman rumah.

“Suspek dalam kejadian ini adalah anak pertama kepada si mati iaitu lelaki berusia 33 tahun dan merupakan seorang pemegang kad OKU mental. Suspek ditangkap di kediaman berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Chang Hook berkata, reman akan dipohon ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah esok di Mahkamah Majistret Bahau, manakala bedah siasat akan turut dijalankan esok di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi mengetahui sebab-sebab kematian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI