PENYERANG Selangor FC, Ronnie Fernandez enggan selamanya dilabel dan hidup dalam bayangan gelaran scammer, sebaliknya mahu menghadirkan impak lebih besar kepada pasukan sepanjang Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Bintang import dari Chile itu mahu menjadikan dua gol dihasilkannya ketika menang 2-1 ke atas Perak FC pada Ahad lalu sebagai titik tolak kepada perkembangan kariernya yang lebih baik di Malaysia.
“Adakalanya kita berjaya jaringkan gol tetapi kalah dan bagi saya keutamaan adalah pasukan. Kita sebagai penyerang, apabila dapat jaringkan gol untuk memenangi perlawanan, ia satu perasaan yang bagus.
“Sekarang saya rasa cukup bagus, gembira untuk pasukan dan juga buat penyokong,” katanya.
Walaupun sumbangannya pernah menimbulkan keraguan dalam kalangan peminat tempatan, tetapi tiga gol yang sudah dijaringkan setakat ini dianggap sebagai perkembangan positif buat Fernandez memandangkan ini adalah musim pertamanya di Liga Malaysia (Liga M).
Lebih menarik, Fernandez juga kini berada dalam kedudukan teratas senarai penjaring bersama penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Heberty, Ifedayo Olusegun (PDRM FC) dan Paulo Josue (Kuala Lumpur City).
Sentuhan Fernandez juga pastinya menghadirkan kelegaan buat pengendali Red Giants, Nidzam Jamil yang sebelum ini menaruh keyakinan pemain itu mampu segera menyerlahkan potensinya, sekurang-kurangnya menyamai jalan cerita bekas pemenang kasut emas musim lalu, Ayron del Valle.