COLOGNE – Pengurus England, Gareth Southgate berdepan tekanan memuncak kali ini kerana kekalahan di tangan Slovenia di Rhein Energie Stadion awal pagi esok dilihat boleh menjejaskan reputasinya yang kini dikritik hebat susulan prestasi hambar dalam dua aksi terakhir Kumpulan C sebelum ini.
Kedegilan Southgate meletakkan pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold di posisi tengah tidak disenangi rata-rata bekas pemain dan penyokong The Three Lions sehingga menjejaskan peluang awal mereka mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan C.
Ramai antara mereka mendesak agar pemain-pemain lain seperti Kobbie Mainoo dan Adam Wharton diberikan peluang mengisi tempat Alexander-Arnold selain menggugurkan sayap kanan Arsenal, Bukayo Saka untuk aksi menentang Slovenia.
Bagaimanapun, legenda England dan Manchester United, Wayne Rooney berpandangan berbeza dengan merasakan Southgate akan membuat kesilapan besar jika tidak meletakkan Saka dalam kesebelasan Utama.
“Saya tidak terkejut kalau Southgate letak Phil Foden di sayap kanan dengan membawa masuk Anthony Gordon dan menggugurkan Saka. Namun, saya tidak akan berbuat begitu kerana Saka bermain cukup bagus,” kata Rooney.
Dalam masa sama, Rooney tidak bimbang mengenai prestasi ‘perlahan’ ditunjukkan Harry Kane pada kempen Euro kali ini meskipun dia telah menjaringkan 44 gol daripada 45 perlawanan bersama Bayern Munich musim lalu.
“Saya memahami kenapa ramai yang tidak menyukai Harry (Kane) tetapi anda perlu ingat dia sentiasa memberikan sesuatu kepada England. Saya tak bimbang kerana saya percaya dia akan bangkit menutup mulut pengkritik,” jelasnya.
Sementara itu, pemain tengah Slovenia, Timi Elsnik bertekad pasukannya akan bangkit mengubati kekecewaan seri saat akhir kepada Serbia dengan menewaskan England bagi mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati.
“Ada beberapa situasi dalam kejohanan ini… rasa seperti ia tidak berpihak kepada kami, tetapi kami akan berjuang di atas padang. Kami sedar pasukan pilihan kumpulan ini sedang menanti kami pada perlawanan terakhir, tetapi perjuangan belum berakhir.
“Kami akan memberikan segalanya pada perlawanan terakhir dan lihat jika ia mencukupi untuk mara. Ini adalah bola sepak. Mungkin kami patut lebih bertuah di saat akhir,” katanya. – AGENSI