DORTMUND – Tonggak tengah Perancis, Aurelien Tchouameni tidak terlalu gusar memikirkan tentang kritikan peminat terhadap prestasi semasa pasukan itu pada saingan Euro 2024 kali ini.
Walaupun tidak menghadirkan cerita lebih menarik pada penampilan kali ini, Tchouameni bertegas hakikat sebenar adalah Les Bleus yang dilabel sebagai pasukan pilihan tetap berada di ambang kejayaan untuk melepasi peringkat kumpulan.
“Sesetengah orang mahukan kemenangan dengan menerapkan permainan menarik dan ada juga yang sekadar mahukan kemenangan. Secara peribadi saya hanya mahukan kemenangan, tidak kiralah sama ada kami bermain dengan baik atau pun sebaliknya.
“Paling penting adalah kemenangan dan dapatkan tiga mata. Saya fikir pada akhir karier, perkara yang kita akan ingat adalah kemenangan, bukannya bagaimana kami bermain,” katanya.
Perancis akan menentang Poland di Signal Iduna Park tengah malam ini dan satu mata sudah memadai buat Les Bleus untuk mengesahkan kemaraan selaku dua pasukan terbaik Kumpulan D.
Bagaimanapun, kerisauan mula tercetus apabila Perancis hanya mampu menghasilkan satu gol ketika menang 1-0 ke atas Austria dan ia terhasil menerusi jaringan sendiri pemain lawan, Maximilian Woeber.
Tchouameni juga tidak gusar tentang masalah kecederaan Kylian Mbappe kerana Perancis masih memiliki pemain gantian yang turut memiliki kualiti.
“Saya faham sesetengah orang mahu pasukan ini bermain baik dan mungkin kami bukanlah pasukan seperti itu. Tetapi kami adalah pasukan yang sering berada di peringkat akhir dan bagi saya itu adalah perkara utama,” jelasnya. – AGENSI