FRANKFURT – Kapten Jerman, Ilkay Gundogan percaya keputusan seri 1-1 yang dilakar pada aksi terakhir Kumpulan A bertemu Switzerland di Frankfurt Arena awal pagi semalam bakal menaikkan lagi semangat pasukan dalam usaha memburu kejuaraan Euro 2024 kali ini.
Pada aksi tersebut, Jerman ketinggalan dengan gol ledakan Dan N’Doye pada awal permainan sebelum penyerang gantian, Niclas Fullkrug menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.
Kata Gundogan, penyokong tidak perlu risau dengan prestasi tidak konsisten yang dipamerkan kerana mungkin ini adalah strategi pasukan untuk ‘menyimpan tenaga’ sebelum mengharungi aksi pusingan 16 terbaik nanti.
“Kami gembira apabila dapat bangkit untuk meraih keputusan seri. Secara jujur, saya rasa keputusan seri lebih adil kerana kami tidak bernasib baik apabila ketinggalan pada awal perlawanan.
“Bukan mudah untuk menang setiap aksi yang diharungi kerana kita juga perlu perlawanan kompetitif seperti ini. Harap pemain dapat tampil lebih bersemangat pada peringkat seterusnya nanti,” katanya.
Sementara itu, pengendali Die Mannschaft, Julian Nagelsmann percaya pasukannya layak untuk bergelar juara Kumpulan A sekali gus mengelak bertemu negara-negara pilihan pada pusingan kalah mati nanti.
“Saya rasa kedua-dua pasukan wajar meraih keputusan seri kerana kami melakukan asakan bertali arus pada penghujung perlawanan. Saya juga cukup lega apabila pasukan lulus ujian dengan muncul juara peringkat kumpulan kali ini,” katanya. – AGENSI