fbpx

Data lapangan terbang akan jadi milik GIP, BlackRock?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Ahmad Fayhsal pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penjualan saham Malaysia Airport Holding Bhd. (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock disifatkan tidak lengkap dan mengelirukan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal berkata, Ahli Parlimen Tambun itu perlu memberi penjelasan secara terperinci kepada pihak umum.

Malah, menurutnya, pelbagai persoalan strategik terutama aspek keselamatan tidak dijawab dengan tuntas dan kerajaan hanya memberi jaminan bahawa Kementerian Pertahanan masih lagi melindungi sempadan negara.

“Beliau (Anwar) tidak jelaskan sebenarnya dalam kenyataan GIP dua hari lalu, GIP telah memberi penerangan dengan adanya pegangan (saham), mereka akan terlibat dalam pengurusan lapangan terbang.

“Soal keselamatan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Paya Besar dan rakan-rakan yang lain adalah berhubung data keluar masuk lapangan terbang yang akan menjadi milik GIP dan Black Rock,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Anwar menjelaskan bahawa pemilikan MAHB masih kekal milik negara dan soal penjualannya tidak berbangkit sama sekali.

Anwar berkata, penjualan saham ataupun eksesais itu hanya melibatkan pengurusan MAHB manakala lapangan terbang kekal milik kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, daripada soal moral, dengan mengizinkan pemilikan saham kepada GIP, kerajaan juga secara tidak langsung bersubahat dengan BlackRock untuk mendanai pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.

“Laporan baru keluar 20 Jun lalu meletakkan nama BlackRock sebaris dengan pelabur lain yang mempunyai kawalan kepada syarikat senjata yang membunuh rakyat Palestin.

“Kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu menarik balik atau sekurangnya tangguh dulu penjualan ini dan bagi perbahasan dibuat di Dewan Rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan alasan kewangan yang mana MAHB dikatakan perlu mencari dana sejumlah RM10 bilion untuk pengubahsuaian dan menambaik baik operasi.

“Tak boleh ke syarikat konsesi berusia 45 tahun yang dimiliki Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (mencari modal sendiri dalam pasaran) tanpa memerlukan bantuan pelabur asing.

“Apa yang GIP nak bawa? Soal nilai saham RM11 tak dijawab sedangkan ramai penganalisis mengatakan nilai saham MAHB adalah RM16 sesaham malah boleh pergi ke RM18, dari segi potensi yang ada pada MAHB” jelasnya.

Justeru, beliau berharap agar Speaker Dewan Rakyat memberi ruang perbahasan supaya isu tersebut dapat dikupas dengan lebih lanjut oleh semua ahli pembangkang mahupun kerajaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI