WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memasukkan Brunei dan Sudan ke dalam kategori Peringkat 3 bagi Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan semalam, lapor laman berita VOA.
Mana-mana negara yang berada di kategori itu berdepan sekatan oleh AS atau pengurangan bantuan.
Washington menganggap negara-negara dalam Peringkat 3 tidak melakukan usaha mencukupi terhadap masalah pemerdagangan manusia dan tidak mematuhi Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan AS 2000 (TVPA).
“Dianggarkan 27 juta orang di seluruh dunia dieksploitasi untuk buruh, perkhidmatan dan seks komersial.
“Menerusi paksaan dan penipuan, mangsa-mangsa pemerdagangan manusia terpaksa bekerja keras di ladang, kilang, restoran dan kediaman.
“Pemerdagangan manusia mengakibatkan sejumlah individu di dunia menjadi mangsa dengan mengaut keuntungan daripada pahit getir mereka,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
Brunei dilaporkan tidak pernah mensabitkan mana-mana pelaku pemerdagangan manusia selama tujuh tahun berturut-turut.
Washington juga mendakwa bahawa negara itu mungkin telah menghukum mangsa-mangsa pemerdagangan manusia menerusi pendakwaan atau pengusiran.
Dalam pada itu, Sudan jatuh dari Peringkat 2 pada tahun sebelumnya ketika negara itu dilanda perang saudara.
“Kami menilai dasar atau corak pemerdagangan manusia oleh kerajaan Sudan kerana ia berkaitan dengan pengambilan askar dalam kalangan kanak-kanak,” kata Duta Besar AS yang bertanggungjawab terhadap pemerdagangan manusia, Cindy Dyer. – AFP/AGENSI