fbpx

Beri penekanan bidang kejuruteraan, TVET, penguasaan Bahasa Inggeris – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reaksi Anwar ketika mendengar soalan yang diajukan ketika sesi soal jawab pada Majlis Makan Tengahari Mesyuarat Agung Tahunan AMCHAM ke-47 di Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Generasi muda perlu diberi penekanan mengenai bidang kejuruteraan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris untuk bersaing di peringkat ekonomi global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, salah satu caranya adalah melibatkan kerjasama bukan sahaja daripada pihak institut latihan khas tetapi juga universiti-universiti seluruh Malaysia.

Ujarnya, penglibatan syarikat-syarikat besar juga boleh memperkenalkan disiplin baharu selain mendapatkan kepakaran demi menghasilkan golongan profesional yang memenuhi keperluan industri.

“Saya sangat tegas tentang keperluan untuk semua rakyat Malaysia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Tetapi anda perlu sedar bahawa perlunya peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris. Selain itu, pelarasan yang cepat juga perlu ditekankan terhadap bidang kejuruteraan dan TVET.

“Angka terkini menunjukkan bahawa kita kekurangan kira-kira 30,000 jurutera di negara ini. Industri perlukan lebih ramai yang berkemahiran tinggi dengan tahap kepakaran yang mahir. Oleh itu perkara ini perlu diselaraskan dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog Majlis Makan Tengah Hari Mesyuarat Agong Tahunan Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) ke-47, di sini hari ini.

Di dalam sesi dialog itu, Anwar menjawab soalan Pengerusi AMCHAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AIG Malaysia Insurance Berhad berkenaan cara mendidik dan membentuk generasi Malaysia akan datang untuk bersaing dalam ekonomi global.

Tambah Anwar, peralihan diperlukan untuk memenuhi keperluan kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berdasarkan perubahan keadaan dan juga ketetapan masa.

“Dalam konteks khusus ini, pandangan saya ialah kedua-dua bidang baik kejuruteraan mahupun TVET perlu diberi penekanan dan dalam masa yang sama mendorong lebih banyak Bahasa Inggeris dalam sistem sekolah-sekolah di Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar meminta syarikat-syarikat AS yang bertapak di Malaysia untuk menumpukan usaha berkaitan pemindahan teknologi, pusat kecemerlangan dan latihan.

Jelasnya, orang ramai menyedari bahawa walaupun pelaburan diperlukan, kerjasama dijangka akan menjadi lebih berkesan jika usaha-usaha itu dapat direalisasikan.

Selain itu, jelas Anwar, bagi mengukuhkan kepercayaaan selain menghapuskan isu melampau perbezaan geopolitik, syarikat-syarikat AS juga perlu melakukan penglibatan bersama rakyat negara ini.

“Penglibatan syarikat-syarikat besar AS melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau latihan adalah sangat penting, terutamanya pada waktu sekarang.

“Penting untuk anda (syarikat AS) membina kepercayaan itu dalam keadaan dimana dunia sedang berpecah-belah dan kurangnya nilai kemanusiaan dan belas kasihan.

“Saya sangat percaya pada isu-isu jika keadilan, semangat, dan ianya bukan terbatas kepada kerajaan sahaja untuk melakukannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI