fbpx

Bekas pengurus syarikat ditahan kemuka kontrak kerja palsu RM77 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek direman selama tujuh hari selepas perintah reman dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. - Foto IHSAN SPRM

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas pengurus syarikat ekoran disyaki mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu bernilai kira-kira RM77 juta.

Difahamkan, dokumen perjanjian kontrak kerja palsu itu dibuat bagi memohon kuota pekerja asing kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia.

Menurut sumber, suspek merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Susulan penahanan itu, suspek telah di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Julai 2024 telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Siasatan awal mendapati suspek bersama tujuh pengarah syarikat daripada empat buah syarikat terbabit telah memohon kuota pekerja asing di Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia dengan mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu,” katanya tadi.

Menurut sumber, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 yang melibatkan 25 kontrak kerja palsu dengan anggaran kira-kira RM77 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau juga menegaskan bahawa SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI