MOSCOW – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam kebakaran besar di sebuah bangunan pejabat dekat Moscow, kata Gabenor wilayah, Andrey Vorobyov seperti laporan Perbadanan Penyiaran Britain semalam.
Beberapa pegawai kecemasan berkata, hanya seorang mangsa diselamatkan daripada bangunan yang terbakar itu di Fryazino, kira-kira 25 kilometer ke utara Moscow.
Seramai dua orang terbunuh selepas mereka terjun daripada tingkap, manakala enam lagi mati apabila ruang dalaman pejabat runtuh dalam kebakaran itu, kata Voroyov di laman sosial.
Rakaman online menunjukkan asap tebal naik ke udara dari beberapa tingkat atas bangunan setinggi lapan tingkat itu.
Terdapat laporan bercanggah mengenai fungsi bangunan tersebut.
Premis itu pernah menempatkan Institut Penyelidikan dan Industri Pertahanan Platan, demikian menurut agensi berita Tass.
Menurutnya, bangunan itu menjadi milik persendirian sejak tahun 1990-an.
Bagaimanapun, media pembangkang baru-baru ini melaporkan bahawa Platan berpangkalan di bangunan itu sejak 2023.
Vorobyov berkata, seorang lelaki berusia 34 tahun yang parah telah dibawa ke hospital, manakala dua anggota bomba juga dirawat kerana kecederaan dalam kebakaran itu.
Perkhidmatan kecemasan tempatan berkata, lelaki tersebut merupakan mangsa tunggal yang diselamatkan dalam bencana tersebut.
Menurut pihak berkuasa, lebih 130 orang dan dua helikopter berusaha untuk memadamkan api yang dapat dipadamkan menjelang pukul 8 malam(waktu tempatan).
Punca kebakaran masih tidak pasti tetapi seorang saksi memberitahu Tass bahawa api bermula pada tingkat enam bangunan sebelum merebak.
Sebanyak 30 syarikat menyewa ruang pejabat di dalam bangunan itu dan nasib dua pekerja di dalamnya masih tidak diketahui.
Pihak berkuasa melancarkan siasatan jenayah berhubung kebakaran itu.– AGENSI