fbpx

AUG bukan temasya sukan ‘cap ayam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAR memandang serius temasya AUG kali ini dengan menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya.

CABARAN Malaysia pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 yang berlangsung di Surabaya-Malang, Indonesia bermula secara rasmi hari ini apabila barisan atlet mula memasuki gelanggang masing-masing.

Meskipun tidak dianggap antara temasya utama, namun saingan yang berlangsung dua tahun sekali itu masih memiliki prestij tersendiri apabila mampu menarik kehadiran atlet-atlet terbaik rantau Asia Tenggara.

Ia dapat dibuktikan apabila Malaysia sendiri membariskan beberapa atlet terbaik termasuk pemegang rekod 100 meter (m) lelaki kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi, Shereen Samson Vallabouy (400m wanita) dan Umar Osman (400m lelaki).

Selain itu, jaguh sukan tempur negara seperti atlet taekwondo, Muhammad Syafiq Zuber dan atlet karate, Shahmalarani Chandran yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2023 turut menggalas cabaran.

Kehadiran atlet-atlet elit ini pastinya memberi nilai tambah buat kontinjen negara yang meletakkan sasaran untuk membawa pulang 35 pingat emas selain menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas.

Umar sebelum ini pernah menyatakan hasratnya bagi menjadikan saingan AUG 2024 sebagai medan untuk meleburkan rekod 400m kebangsaan 46.09 saat (s) miliknya apabila turun ke balapan nanti.

“Bagi AUG kali ini, saya mahu memenangi pingat emas dan kalau dapat pecahkan rekod saya sendiri, ia boleh dikira bonus. Untuk menang emas di AUG, saya tidak perlu terlalu laju, jadi saya yakin akan memenangi emas.

“Jika untuk memecahkan rekod AUG pula, saya rasa saya berpotensi untuk melakukannya,” kata atlet kelahiran Johor berusia 20 tahun itu.

Sebagai rekod, Malaysia merangkul 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa pada edisi dua tahun lalu di Ubon Ratchathani, Thailand selain muncul naib juara keseluruhan di belakang tuan rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI