MELAKA – “Kami sekeluarga tidak tahu arwah ayah hidap kanser paru-paru tahap empat dan hanya mengetahuinya lapan hari lalu, selepas tiga minggu dia dimasukkan ke Hospital Melaka,” kata Muhammad Hanis Kamaruldzaman, 35.
Anak sulung kepada pelakon veteran, Allahyarham Kamaruldzaman Bakar atau lebih dikenali Kamal Bakar, 62, itu memberitahu ayahnya menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Katanya, bapanya sebelum ini tidak pernah menunjukkan sebarang tanda menghidap penyakit tersebut.
“Tetapi tiga minggu lalu sikap ayah berubah secara mendadak apabila dia tidak menyahut panggilan kami ketika sedang berzikir walaupun saya yakin dia mendengarnya.
“Emak yang risau telah memanggil ambulans untuk membawa ayah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, namun dia terus dibawa ke zon merah dan terpaksa ditidurkan kerana oksigen dalam darah menurun mendadak,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru di sini, hari ini.
Terdahulu jenazah Allahyarham telah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan oleh kira-kira 500 jemaah di Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru dekat sini.
Jenazah selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru pada pukul 2.20 petang tadi. – KOSMO! ONLINE