fbpx

3 jam alami ‘turbulence’ teruk dalam kereta api laju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang merakam keadaan di dalam kereta api sepanjang tiga jam perjalanan. - Getty Images/X

MADRID – Penumpang sebuah kereta api di Sepanyol mengharungi perjalanan sukar selama tiga jam apabila tren yang dinaiki bergegar seperti pesawat mengalami pergolakan udara (turbulence) yang teruk, lapor akhbar Metro UK.

Seorang penumpang merakam kejadian itu ketika menaiki laluan rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan bandar raya Madrid dengan Gijon di barat laut Sepanyol baru-baru ini.

Laluan kereta api tersebut dilaporkan baru selesai dinaik taraf dengan menelan kos sebanyak €4.1 bilion (RM20.7 bilion).

“Kami melantun! Saya berharap Menteri Pengangkutan atau sesiapa sahaja dapat memberikan penjelasan kepada penumpang (kereta api) AVE 05721,” tulis seorang penumpang, Alex Sanchez di platform X.

Laluan berkelajuan tinggi itu termasuk terowong kereta api ketujuh terpanjang di Eropah, dibuka pada November tahun lalu selepas 20 tahun dalam pembinaan.

Sementara itu, syarikat milik kerajaan Sepanyol yang mengendalikan kereta api tersebut, Renfe berkata: “Kami menggantung perkhidmatan kereta tersebut bagi menganalisis punca anomali ini dan melaporkan kejadian itu kepada pengeluar. Kami memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI