PETALING JAYA – Genap setahun melayari bahtera perkahwinan, isteri pelawak Shuib, Watie Hanifiah menzahirkan rasa syukur dikurniakan suami yang mampu mengubah dirinya menjadi wanita lebih baik.
Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, berkata, antara yang dilakukan Shuib adalah mengubah cara berpakaian dengan menyuruhnya perlahan-lahan menutup aurat.
“Terima kasih sebab selalu nampak kebaikan dalam diri saya yang serba kekurangan.
“Terima kasih sudi jadi suami saya, bimbing saya daripada imej seksi sampai sudah bertudung, Terima kasih selalu puji saya cantik walau kadang-kadang saya comot.
“Terima kasih selalu puji saya isteri yang baik walaupun daddy tak pernah berpeluang dapat merajuk,” luahnya menerusi hantaran dalam Instagram.
Jiwa berbunga-bunga dengan rasa cinta, Watie turut mengucapkan terima kasih kepada teman hidupnya itu kerana memberi kebahagiaan dan membuktikan alam rumah tangga lebih indah daripada fasa bercinta.
“Terima kasih sebab sudah buktikan kepada saya kahwin itu lebih seronok daripada bercinta. Tiada kata yang lebih indah selain kata pujian daripada suami tercinta.
“Saya selalu rasa bersyukur Allah izinkan saya celik mata bangun tidur dah ada suami disebelah.
“Jika satu hari nanti saya sudah tiada, daddy baca kapsyen IG saya selalu okey? Semoga daddy terus kekal jadi ayah dan suami yang baik macam ini sampai hujung nyawa,” katanya panjang lebar.
Paling penting kata Watie, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, merupakan lelaki yang dapat menerima segala kekurangan dirinya.
“Suatu masa lalu, pada saat semua mata memandang saya takkan mampu buat sesuatu yang baik, jadi terbaik tetapi daddy selalu yakin dengan saya.
“Daddy selalu pertahankan saya walaupun saat itu daddy baru kenal saya empat bulan,” katanya.
Sebagai rekod, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Watie pada 23 Jun 2023.
Sebelum itu, ahli perniagaan terbabit pernah berkahwin dengan Allahyarham Siti Sarah namun penyanyi berkenaan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, 3 tahun. – KOSMO! ONLINE.