fbpx

Sunway dan EU bekerjasama pacu inisiatif kelestarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PANG YEN (dua dari kiri) berjabat tangan bersama Goosmann pada sesi pengumuman kerjasama di Bandar Sunway, hari ini.

SUBANG JAYA – Kumpulan Sunway dan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia (EUD) memeterai perkongsian strategik untuk memajukan rangkaian inisiatif kemampanan secara bersama.

Kerjasama antara misi diplomatik blok perdagangan terbesar dunia dan salah satu konglomerat terkemuka Asia Tenggara itu menandakan peristiwa penting dalam komitmen kedua-dua entiti ke arah masa depan sifar bersih.

Melalui perkongsian berkenaan, Sunway dan EUD komited untuk memupuk masa depan yang lebih mampan dan hijau dengan memanfaatkan kekuatan bersama, perkongsian pengetahuan dan pembiayaan, pembinaan kapasiti dan inisiatif bersama.

Timbalan Ketua Misi EUD, Timo Goosmann berkata, Kesatuan Eropah berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kumpulan Sunway untuk meningkatkan kesedaran mengenai amalan lestari di Malaysia.

“EU telah bekerja gigih untuk memastikannya kelestarian alam sekitar menjadi visi bersama.

“Eropah telah menerima pakai Undang-undang Iklim Eropah, yang mentakrifkan bahawa ekonomi dan masyarakat Eropah mesti menjadi neutral iklim menjelang 2050,” katanya pada majlis menandatangani Surat Niat bagi merasmikan perkongsian berkenaan di Bandar Sunway, di sini hari ini.

Pengarah Eksekutif Pejabat Pengerusi Kumpulan Sunway, Ong Pang Yen menambah, perkongsian antara EU dan Sunway mencerminkan semangat dan kepentingan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG Ke-17, iaitu Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan EU dan negara ahlinya untuk melakukan sebanyak yang boleh dalam membuat kemajuan yang bermakna dan bermatlamat dalam SDG di Malaysia, dan seluruh rantau ini,” katanya.

Sejak ikrar tiga tahun lalu untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, Sunway telah melaksanakan beberapa inisiatif pengurangan karbon, termasuk memperkenalkan strategi penetapan harga karbon dalaman pada semua bahagian perniagaannya, antara yang pertama di Asia untuk berbuat demikian.

Tahun ini, Sunway merintis inisiatif unik untuk menangani kemiskinan bandar melalui projek Balai Cerap Komuniti Desa Mentari, sebuah skim perumahan awam di Subang Jaya dengan komuniti hampir 30,000 penduduk.

Menerusi inisiatif ini, pasukan terdiri daripada sektor swasta, masyarakat sivil dan institusi pendidikan akan mereka bentuk pendekatan holistik yang berasaskan data untuk menyelesaikan isu kualiti kehidupan komuniti Desa Mentari. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI