HALAL merujuk kepada sesuatu yang dibenarkan atau diizinkan menurut ajaran agama Islam.
Istilah halal sering digunakan terutamanya dalam konteks makanan dan minuman.
Ia merujuk kepada produk-produk yang telah mendapat pengiktirafan halal daripada pihak berwajib.
Hakikatnya, konsep halal tidak terhad kepada makanan dan minuman sahaja, malah boleh diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan lain termasuk pendapatan serta hubungan sosial.
Bagi memastikan pemahaman yang menyeluruh dalam ilmu halal, pendidikan mengenai hal itu perlu disampaikan secara efektif dan berterusan kepada semua segmen masyarakat termasuk golongan mualaf.
Atas semangat itulah sekumpulan pelajar tahun kedua Sarjana Muda Syariah dengan pengkhususan dalam fiqh dan usul daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) telah menganjurkan program Halcare bersama komuniti mualaf baru-baru ini.
Program itu turut mendapat kerjasama daripada Masjid Amaniah di Kepong, Kuala Lumpur yang menyediakan lokasi program, di samping membantu mendapatkan peserta daripada komuniti mualaf setempat.
Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC), Dr. Norhidayah Pauzi, HalCare merupakan singkatan bagi ‘Awareness and Empowerment’ iaitu sebahagian daripada kursus teras ‘Fiqh al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’.
“Program ini merupakan inisiatif khidmat komuniti yang bertujuan memperkukuh pemahaman mengenai aspek halal dan haram dalam pemakanan, pendapatan dan hubungan sosial terutamanya dalam kalangan komuniti mualaf,” katanya.
Sementara itu, Ustazah Masturina Maryam Wong yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Masjid Amaniah berkata, kebanyakan mualaf yang mengikuti kelas pengajian itu memiliki pemahaman rendah tentang konsep halal dan haram, meskipun telah lama mengikuti pengajian.
“Selain tahap pemahaman yang rendah, mereka juga kurang menerima pendedahan dari aspek pensyariatan Islam itu sendiri.
“Jika diberi pendedahan yang sepatutnya, saya pasti mereka mampu melakukannya.
“Sebenarnya, kelemahan yang dimaksudkan ini boleh dikaitkan dengan dua faktor utama.
“Pertama, sebahagian besar daripada komuniti mualaf ini kurang lancar berbahasa Melayu, sedangkan kebanyakan kelas dan pengajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Ini memberikan cabaran tambahan kepada mereka untuk mengikuti kelas pengajian disediakan.
“Kedua, peruntukan masa yang terhad untuk setiap kelas iaitu hanya dua jam setiap minggu. Sebenarnya, ia tidak mencukupi untuk mereka benar-benar memahami dan menjiwai semua perkara yang diajar,” katanya.
Berpandukan pernyataan permasalahan itu, para pelajar UM telah mereka bentuk aktiviti yang bukan sahaja berbentuk ceramah, namun bersifat interaktif bagi meningkatkan pemahaman peserta mengenai aspek halal dan haram dalam kehidupan seharian.
Seramai 30 orang peserta daripada komuniti mualaf telah menyertai program HalCare yang berumur antara 20 hingga 70 tahun.
Salah seorang sukarelawan merangkap setiausaha program, Muhd. Syafiq Abdul Halim berkata, selain penerangan, peserta diberi kefahaman mengenai konsep halal dan haram dalam aspek makanan, pendapatan serta hubungan kekeluargaan.
Ujarnya, ia dijayakan melalui permainan dan sesi soal jawab yang interaktif bersama sukarelawan serta penceramah jemputan.
“Paling menyentuh hati apabila kami melaksanakan aktiviti ‘Bicara Heart to Heart’, yang mana para peserta berkongsi pengalaman dan cabaran hidup masing-masing setelah bergelar Muslim.
“Saya kagum dengan semangat mereka yang cekal untuk meneruskan kehidupan yang tenang dan bahagia berbekalkan syiar Islam, walaupun dengan pelbagai cabaran,” katanya.
Tambahnya, program tersebut bukan hanya memberi manfaat pengetahuan dan pengalaman baharu kepada para peserta, malah membuka mata mahasiswa sebagai ejen perubahan masyarakat.