fbpx

Sebak lihat pak cik kutip barang terpakai naik ‘wheelchair’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan warga emas itu mengutip barangan kitar semula yang diletakkan di atas penyambung telah di ubah suai di belakangnya.

PETALING JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itulah perumpamaan tepat menggambarkan kesusahan seorang lelaki warga emas yang menaiki kerusi roda untuk mengutip barangan terpakai sekitar ibu negara.

Video pak cik itu yang dimuat naik seorang penunggang motosikal di akaun TikToknya @kakiiibesiii sejak semalam mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial.

Dalam video itu, pak cik itu ditemui di hadapan bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kuala Lumpur ketika menaiki kerusi roda sambil menarik beban barang kitar semula yang diletakkan di atas penyambung telah diubah suai.

Ketika ditegur penunggang motosikal tersebut, sambil tersenyum dan kelihatan sedikit mengah, pak cik itu sempat memberikan salam serta memberitahu dirinya dalam perjalanan ke rumahnya di Chow Kit.

“Pak cik dari Chow Kit, pusing sampai Dataran Merdeka dan nak balik Chow Kit semula cari barang kitar semula. Dah biasa memang rutin jalan macam tu.

“Memang laluan tu dua kali sehari. Lepas Subuh sekali, lepas Asar sekali. Barang ni gantung dulu, esok lepas Subuh baru jual,” jawabnya kepada penunggang motosikal itu.

Bukan itu sahaja, pak cik yang memegang dua topang kaki sebagai bantuan untuk bergerak juga menolak pelawaan penunggang motosikal itu yang ingin menolaknya hingga ke rumah.

Difahamkan pak cik itu turut ditemani anak perempuannya untuk membantu mengutip barangan kitar semula.

“Suami anak kerja pengawal keselamatan syif malam. Jadi kadang-kadang dia ikut pak cik lah. Tolong apa yang patut.

“Biasa memang macam nilah. Mula dari Kampung Baharu, pusing sampai Dataran Merdeka, pusing balik di DBKL, patah balik sampai Chow Kit. Cari barangan kitar semula dekat Masjid India, kawasan dalam tulah,” jelas pak cik berkenaan.

Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 247,100 tontonan, 23,800 tanda suka dan 532 perkongsian.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang melahirkan rasa simpati serta berhajat menubuhkan tabung untuk membelikan kerusi roda elektrik buat warga emas itu.

“Jom semua netizen Malaysia, kita kumpul dana untuk pak cik ini. Untuk kemudahan dirinya bergerak,” komen Adriana.

“Adanya video macam ni baru kita tahu ada orang lagi susah daripada kita. Semoga urusan pak cik dipermudahkan,” komen Farra.

Dalam pada itu, ada juga pengguna yang meninggalkan komen pernah ternampak pak cik tersebut mengutip barang kitar semula beberapa kali sekitar ibu kota.

“Nampak dia tadi, penuh barang di belakang. Siapa lalu di Kuala Lumpur setiap haro memang akan nampak pak cik ini,” komen Amar.

“Pak cik ni selalu saya nampak dekat Balai Dang Wnagi hari Jumaat. Lama tak jumpa dia,” komen seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI