fbpx

Polis, paderi maut dalam siri serangan di Dagestan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan serangan di bandar Derbent. – BNO News

MOSCOW – Sekurang-kurangnya 15 anggota polis terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dalam siri serangan di Dagestan, Russia, lapor stesen penyiaran Sky News.

Serangan itu menyasarkan sebuah rumah ibadat dan sebuah gereja Kristian Ortodoks di bandar Derbent, serta turut menyasarkan sebuah pos polis trafik di Makhachkala.

Seorang anggota Pengawal Negara dan dua orang awam turut terbunuh, dengan salah seorang daripada mereka  ialah paderi.

Muftiate Dagestan yang merupakan badan pentadbiran wilayah Islam itu berkata, 25 orang cedera.

Lima daripada lelaki bersenjata tersebut telah ditembak mati, lapor agensi berita Russia yang  memetik jawatankuasa antikeganasan kebangsaan.

Tiada pihak tampil bertanggungjawab bagi serangan itu namun, jawatankuasa antikeganasan kebangsaan Russia menyalahkan kumpulan pengganas.

“Beberapa individu  tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah rumah ibadat dan gereja dengan senjata automatik,” lapor agensi berita Reuters yang memetik Kementerian Dalam Negeri.

Tambah kementerian berkenaan, rumah ibadat dan gereja tersebut dibakar sebelum penyerang melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Insiden berbalas tembakan kemudian berlaku di pos polis Makhachkala, yang terletak kira-kira 125 kilometer ke utara di  pantai Laut Caspian, lapor Reuters.

Derbent menempatkan komuniti Yahudi purba di Caucasus Selatan dan tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dagestan yang bersempadan dengan Georgia dan Azerbaijan, adalah wilayah yang sebahagian besar penduduknya beragama Islam di selatan Russia.

Pada tahun 2000-an, Dagestan dilanda pemberontakan kumpulan Islam dari republik jirannya, Chechnya, dengan pasukan keselamatan Russia cuba memerangi puak pelampau di rantau itu. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI