fbpx

PM ajak orang ramai tonton, hayati teater Hadji Murat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster pementasan teater Hadji Murat di Wisma DBP bermula 26 hingga 29 Jun ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai menonton dan menghayati pementasan teater Hadji Murat di Balai Budaya Tun Syed Nasir Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) yang akan bermula 26 hingga 29 Jun ini.

Beliau berkata, teater tersebut berdasarkan novella penting dan yang terakhir karya sasterawan dan novelis ulung Rusia Leo Tolstoy.

“Watak Hadji Murat adalah watak yang tersepit di antara dua kekuasaan zalim dan bertindak semata dalam menyelamatkan keluarganya.

“Karya ini ternyata mengesankan tatkala ia menekankan betapa perang dan kekuasaan yang ganas hanya melahirkan ramai watak yang jahat dan khianat.

“Tolstoy berjaya mewujudkan rasa dan sikap yang simpatetik melalui karya tersebut, apalagi kepada seorang pejuang dan wira umat Islam iaitu Hadji Murat, terutamanya di saat dunia dirundung berat akan kezaliman dan budaya politik pemerasan yang kini berterusan di Palestin,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, Hadji Murat adalah sosok yang dekat dan paling kanan kepada Imam Shamil, ketua pejuang dan watak penting di tampuk kepemimpinan wilayah tersebut.

Katanya, mereka berjuang seiring melawan kerakusan empayar Rusia yang dikepalai Tsar Nicholas I dan berlakunya pertembungan antara pejuang dan penjajah kerana ingin membebaskan keluarga tercinta.

Anwar berkata, pengkritik kesusasteraan Amerika, Harold Bloom tatkala membaca Hadji Murat pernah menukilkan, “…my personal touchstone for the sublime of prose fiction, to me the best story in the world, or at least the best that I have ever read.”

“Komentarnya itu lantas telah mencipta semacam ribut di dunia kesusasteraan tatkala Bloom meletakkan Hadji Murat lebih tinggi ketimbang karya Tolstoy lainnya yakni Anna Karenina dan War and Peace,” katanya.

Katanya, menghimbau saat mengajar di Amerika Syarikat, ramai yang membicarakan mengenai gejala Islamofobia dan terorisme pasca serangan 9/11.

“Saya membawa kisah novella Hadji Murat yang mengisahkan penaklukan empayar Rusia ke atas warga Muslim di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara.

“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengajak teman-teman semua untuk sama hadir, ikuti dan hayati pementasan teater Hadji Murat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI