KELAYAKAN secara merit ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan boleh dikatakan sudah tertutup buat dua pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy.
Ia gara-gara dua atlet berkenaan gagal melepasi had kelayakan Sukan Olimpik dalam acara masing-masing pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan yang berlangsung di Almaty malam kelmarin.
Azeem yang beraksi dalam acara 100 meter (m) dan Shereen (400m) perlu mengharapkan kedudukan ranking kelayakan Olimpik Paris bagi melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Sekiranya ranking tidak dapat membantu, kedua-dua pelari itu terpaksa bersaing bagi merebut satu tiket wildcard yang akan diberikan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert Ballard berkata, semua pihak perlu menunggu 30 Jun ini sama ada Azeem dan Shereen mampu layak ke Paris dari segi ranking kelayakan ataupun tidak.
“Jika berdasarkan ranking, Azeem perlu berada di kedudukan ke-56 dan ke atas, manakala Shereen pula 48. Kita tunggu dan lihat sahaja nanti,” katanya.
Jika tiket wildcard menjadi jalan terakhir, Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan memiliki kelebihan kerana hanya acara 100m, 800m dan maraton boleh diberikan tiket ke Paris.
Bagaimanapun, Shereen sebelum ini sudah menyatakan kesediaannya untuk ‘beralih angin’ ke acara 100m bagi merealisasikan impiannya beraksi pada temasya Olimpik tersebut.
Pada final Terbuka Kazakhstan kelmarin, Azeem menamatkan saingan di tempat ketiga dengan pelumba Thailand, Puripol Boonson muncul pemenang menerusi catatan 10.23 saat (s).
Shereen pula mencatat keputusan cemerlang apabila memastikan pingat emas menjadi miliknya menerusi catatan masa 52.60s, namun masih jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan 51.79s miliknya.