MARAN – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka maut selepas motosikal jenis Yamaha R250 ditunggangnya melanggar sebuah kereta di simpang hadapan Balora Mustika Jengka di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu berlaku ketika mangsa, Ahmad Imran Aiman Md Mubin, 23, dalam perjalanan dari arah UiTM Kampus Jengka menghala ke bandar Jengka.
“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah kereta jenis Nissan Sylphy keluar dari simpang sebelah kanan sebelum dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa yang bergerak lurus.
“Akibat kejadian penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohamad Zamri, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah simpang tiga dengan sistem jalan dua lorong satu hala dan kawasan kejadian mempunyai lampu jalan. – KOSMO! ONLINE