fbpx

Pelajar lepasan SPM, vokasional ditahan baling batu pada bas penyokong Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bas penyokong pasukan bola sepak yang diserang dua lelaki ketika melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam tadi.

PETALING JAYA – Dua lelaki ditahan polis selepas bertindak membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong sebuah kelab bola sepak ketika melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam tadi.

Penahanan kedua-dua suspek itu dilakukan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 8.49 malam berkaitan satu insiden yang mana dua lelaki menaiki motosikal telah membaling batu ke arah bas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku semasa bas yang membawa penyokong kelab bola sepak tersebut selesai menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kata beliau, kedua-dua suspek berusia lingkungan 17 sehingga 20 tahun telah ditahan sebelum diserahkan kepada polis.

“Salah seorang suspek masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala seorang lagi masih belajar di sekolah vokasional.

“Akibat dibaling batu, bas mengalami kerosakan pada cermin bahagian penumpang kiri.

“Semakan lanjut mendapati, mereka tidak mempunyai rekod lampau dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan dan tidak terlibat dengan sebarang pelanggaran undang-undang.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan perlakukan jenayah berkenaan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” jelasnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat memaparkan satu insiden pergaduhan antara penyokong kelab bola sepak di stesen minyak NKVE.

Menerusi satu perkongsian di X, dua video memaparkan sekumpulan individu mengheret seorang lelaki keluar daripada stesen minyak itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI