fbpx

Mohon doakan ayah saya kembali pulih – Ayda Jebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYDA bersyukur bapanya sudah boleh makan dan dibenarkan keluar dari hospital.

PETALING JAYA – Penyanyi Ayda Jebat meluahkan rasa syukur apabila tahap kesihatan bapanya, Jebat, 54, yang mengalami serangan strok baru-baru ini  semakin baik.

Kata Ayda atau nama sebenarnya, Nur Shuhada Jebat, 32, meskipun belum pulih sepenuhnya, insan kesayangannya itu sudah dibenarkan makan seperti biasa.

“Alhamdulilalh keadaan ayah semakin baik dan boleh makan berbanding sebelum ini hanya minum susu.

“Ayah juga sudah dibenarkan pulang ke rumah dan kami sekeluarga sudah menyediakan jadual untuk melakukan fisioterapi serta akupuntur.

“Kami turut berbincang dengan doktor mengenai cara untuk pesakit strok kembali pulih seperti biasa,” katanya ketika ditemui usai persembahan The Hardest Singing Show (THSS) semalam.

Tambah Ayda, doktor ada memaklumkan ada peluang untuk bapanya pulih seperti dahulu namun memerlukan masa yang lama dan kesabaran.

“Menurut nasihat doktor, proses pemulihan itu mengambil masa lama dan perlu banyak bersabar.

“Kami juga sentiasa berusaha untuk memastikan dia pulih seperti biasa. Meskipun agak sukar untuk sepenuhnya, jika berbaring di kerusi roda juga sudah bernasib baik.

“Agak sedih juga apabila sekarang dia hanya berbaring di katil dan tidak boleh berbuat apa-apa sehinggakan makan juga perlu disuapkan. Dia juga belum boleh bercakap,” ujarnya.

Penyanyi lagu Pencuri Hati itu turut mengharapkan agar orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan bapanya.

“Saya tahu ayah kuat semangat kerana sebelum ini dia seorang yang aktif selain gemar menunggang motosikal (berkuasa tinggi).

“Jadi saya memohon agar masyarakat di luar sana dapat mendoakan kesejahteraan agar dia kembali pulih,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon filem Pinjamkan Hatiku tersebut mengakui keadaan bapa tercinta sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya menjayakan persembahan di THSS minggu lalu.

Begitu pun, demi tidak menghampakan peminat yang setia menyokongnya selama ini, Ayda berusaha memberikan persembahan terbaik.

“Persembahan minggu lepas agak terganggu dan sebaik sahaja mengetahui perkara itu, saya terus bergegas pulang ke Melaka.

“Bagaimanapun saya anggap semua ini sebagai cabaran dan dugaan dalam pertandingan.

“Alhamdulillah keluarga banyak memberi sokongan dan minta saya fokus dengan persembahan.

“Soal kesihatan ayah, mereka akan memaklumlam kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Ayda memuat naik berita mengenai bapanya dikejarkan ke hospital kerana mengalami serangan strok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI