KUALA LUMPUR – Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman digesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mempromosikan skim perdagangan kripto menerusi sebuah aplikasi.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, aplikasi tersebut sering dipromosi oleh sebuah pertubuhan yang sah dan berdaftar di Malaysia.
“Kami gesa pihak polis untuk siasat perdagangan kripto ini dimulai dengan pihak yang giat aktif mempromosikannya dan ada pejabat mereka sendiri di sini,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Bangunan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Kuala Lumpur, hari ini.
Hishamuddin menjelaskan, pihaknya menerima sebanyak 99 aduan daripada pelanggan yang mendakwa ditipu oleh aplikasi tersebut di mana jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM4.8 juta.
“Oleh itu, kami menggesa jasa baik Ketua Pengarah JSJK untuk menyiasat aplikasi itu kerana mereka telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada pengadu-pengadu yang berdaftar dengan aplikasi ini,” ujarnya.
Sementara itu, Zainal Azim, 69, yang merupakan salah seorang daripada mangsa skim perdagangan kripto berharap agar pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.
“Saya sendiri mengalami kerugian sebanyak RM50,000. Ada sahabat saya yang ditipu lebih daripada jumlah kerugian yang saya terpaksa tanggung dan semuanya hasil ditipu oleh pihak tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE