SEOUL – Kebakaran besar berlaku di sebuah kilang bateri litium di Korea Selatan hari ini dengan seorang mangsa disahkan meninggal dunia, manakala nasib 21 yang lain belum diketahui, kata pihak berkuasa ketika api terus marak.
Bangunan itu adalah milik pengilang bateri utama Korea Selatan, Aricell. Ia terletak di Hwaseong, pinggir selatan bandar raya Seoul.
“Kami masih tidak dapat masuk dan melakukan operasi menyelamat. Kami akan melakukannya sebaik sahaja api dapat dikawal.
“Nasib 21 pekerja belum diketahui. Kami merancang mengesan keberadaan mereka menggunakan kontak yang diberikan Aricell,” kata pegawai bomba, Kim Jin-young.
Imej yang dikongsikan agensi berita Yonhap menunjukkan asap hitam berkepul-kepul naik ke udara, manakala api berwarna kuning menjilat bangunan.
Beberapa belas jentera bomba turut dilihat di lokasi kejadian.
Korea Selatan merupakan pengeluar utama bateri dan membekalkan bateri litium kepada pembuat kereta elektrik di seluruh dunia termasuk Tesla. – AFP