fbpx

Jualan diesel di sempadan jatuh 40 peratus, bukti wujud penyeludupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 peratus penurunan jualan diesel di sempadan dicatatkan selepas kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi bahan bakar itu awal bulan ini.

Angka itu menunjukkan wujud aktiviti penyeludupan bahan api ke negara sempadan sebelum ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu menyaksikan jumlah jualan runcit di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama.

“Selain itu, jualan diesel komersial pula meningkat empat juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini sudah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

“Ini bermakna, trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi sudah berkurangan,” katanya pada sesi penerangan menteri berkaitan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, pengapungan harga diesel tidak bermaksud kerajaan memansuhkan sepenuhnya subsidi ke atas bahan bakar itu, memandangkan ketika ini kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion berbanding RM14 bilion tahun lalu.

“Kerajaan mampu meraih penjimatan tahunan RM4 bilion. Penjimatan ini tentunya dapat dimanfaat untuk menambah baik mutu hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur awam berkualiti dan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau memberitahu, perbelanjaan subsidi diesel negara meningkat 10 kali ganda daripada RM1.4 bilion pada 2019 kepada RM14.3 bilion tahun lalu.

“Trend kenaikan subsidi diesel ini tidak mampu lagi ditampung kerajaan secara berterusan. Peningkatan belanja subsidi bukan hanya disebabkan kenaikan harga pasaran tetapi juga akibat peningkatan ketirisan diesel bersubsidi.

“Jumlah diesel bersubsidi yang digunakan naik mendadak 80 peratus daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter tahun lalu, walaupun tiada peningkatan kenderaan diesel baharu yang ketara dalam tempoh sama.

“Jumlah jualan diesel komersial tanpa subsidi pula turun dua bilion liter dalam tempoh itu.

“Peningkatan penggunaan diesel bersubsidi amat ketara ini disebabkan jurang perbezaan harga besar antara harga komersial dengan harga runcit diesel bersubsidi di pam Malaysia,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI