fbpx

Jemaah haji rebah di tengah jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA perubatan mengusung seorang jemaah yang rebah ketika cuaca panas di Padang Arafah pada 15 Jun lalu. - AFP

MEKAH – Jemaah haji yang sudah pulang dari menunaikan Rukun Islam kelima itu berkongsikan pengalaman ketika berada di Mekah dalam suhu panas melampau sehingga menyebabkan ribuan jemaah meninggal dunia, lapor saluran berita CNN kelmarin.

Menurut Zirrar Ali yang pulang ke London Jumaat lalu, dia menyaksikan ramai jemaah rebah di tengah jalan dan tidak sedarkan diri akibat cuaca panas.

“Bagi saya, ia berasa seperti terlalu ramai orang untuk bilangan anggota perubatan yang sedia ada. 

“Anggota perubatan terpaksa memilih kes yang teruk untuk memberi rawatan dan saya tidak dapat memberi fokus kepada ibadah haji ketika melihat ramai orang jatuh sakit,” kata Zirrar, 40, yang menunaikan haji bersama bapanya yang berusia 70 tahun.

Menurut Zirrar, lima jam berjalan setiap hari adalah minimum, tetapi ramai jemaah menghabiskan sehingga 12 jam di luar setiap hari.

Ibadah haji tahun ini berlaku di tengah-tengah cuaca ekstrem yang menyaksikan suhu melebihi bacaan purata dan mencecah 49 darjah Celsius. 

Meskipun angka kematian sebenar masih tidak jelas, agensi berita AFP pada Jumaat lalu menyebut seramai 1,126 orang dengan separuh daripadanya adalah warganegara Mesir.

Pegawai kanan Arab Saudi kemudian berkata, kerajaan negara itu mengesahkan 577 kematian untuk dua hari kemuncak semasa haji iaitu Sabtu dan Ahad lalu.

Ia berlaku ketika jemaah berkumpul di Padang Arafah untuk ibadah wukuf, dan pada hari Ahad iaitu ketika melontar di Mina.

Selain itu, Riyadh juga hanya mengeluarkan bilangan jemaah haji yang mendaftar secara sah, dan angka tersebut tidak termasuk mereka yang mengerjakan haji tanpa berdaftar.

“Ini berlaku di tengah-tengah keadaan cuaca yang sukar dan suhu yang sangat panas,” kata pegawai tersebut sambil mengakui bahawa angka 577 itu adalah tidak merangkumi keseluruhan ibadah haji.

Dalam pada itu, seorang jemaah Indonesia yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 44, berkata, dia melihat ramai jemaah jatuh sakit dan meninggal dunia akibat cuaca panas.

“Sepanjang perjalanan, saya melihat jenazah. Ada jenazah yang ditutup dengan kain ihram,” jelasnya.

Tambah Ahmad, setiap kali adanya agihan air daripada penduduk setempat atau kumpulan tertentu, ia segera diserbu oleh jemaah haji.

Lebih 1.8 juta orang mengambil bahagian dalam ibadah haji tahun ini, demikian menurut Pihak Berkuasa Am Saudi untuk Statistik.

Walaupun kematian dalam kalangan jemaah haji bukan perkara luar biasa (terdapat lebih 200 kematian tahun lepas), musim haji tahun ini berlangsung di tengah-tengah suhu yang sangat tinggi.

Sekurang-kurangnya 14 rakyat Malaysia, 165 Indonesia, 75 Jordan, 35 Pakistan, 49 Tunisia, 11 Iran dan 98 India dilaporkan meninggal dunia setakat kelmarin, demikian menurut pihak berkuasa di setiap negara. – AFP/AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI