RANAU – Satu kejadian tanah runtuh berlaku di kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang hingga menyebabkan aliran air Sungai Mesilau yang mengalir ke Sungai Liwagu di Ranau bertukar menjadi berlumpur semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima maklumat daripada rakaman video yang tular di media sosial pagi tadi.
“Sepasukan bomba digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemanta bagi memastikan keadaan selamat.
“Pemantauan turut dilakukan bersama dengan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Ridwan memaklumkan kejadian runtuhan terbabit tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda.
Menurutnya, anggota bomba masih menjalankan pemeriksaan berhampiran lokasi runtuhan. – KOSMO! ONLINE