fbpx

Gadis berpurdah tangkas bersilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nadhirah (kiri) yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meminati seni silat sejak kecil lagi.

“MELALUI pengalaman saya, seni silat ini banyak mengajar kita beradab seperti tidak derhaka kepada guru dan kedua-dua ibu bapa, tidak mencaci dan selalu membantu rakan sepasukan.”

Itu kata-kata yang keluar dari mulut Nurnadhirah Idayu Eddy, pelajar Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu kepada iGen saat ditemu bual baru-baru ini.

Bagi gadis yang mesra disapa Nadhirah itu, perkara tersebut (beradab) dibentuk melalui peraturan perlu dipatuhi oleh setiap ahli agar wujud keberkatan dan keharmonian, sekali gus dapat mendisiplinkan diri.

“Saya seorang yang ‘introvert’, jadi silat banyak membentuk diri saya menjadi lebih berani, yakin diri dan mudah bergaul.

“Ayah dan ibu juga selalu berpesan, sebagai seorang wanita kita perlu ada seni mempertahankan diri dan selalu bersedia untuk membela diri,” kata siswi yang berpurdah itu.

Tambah anak jati Kelantan berusia 21 tahun itu, pada awalnya, dia belajar seni silat hanya untuk mempertahankan diri sendiri.

Pun begitu, minat dan cintanya mula berputik dan perlahan-lahan tertarik untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan.

“Dari kecil lagi, saya berminat dengan seni pertahanan diri terutama silat.

“Kesemua adik-beradik saya terlibat dalam silat termasuk kembar saya sendiri, Nurnazifa Ayuni.

“Kami sering menyertai pertandingan silat bersama abang pertama dan kedua. Sejak itu juga, saya dan kembar berminat dalam seni pertahanan diri ini,” katanya.

NADHIRAH (kiri) dan kembarnya bergambar bersama bapa mereka pada satu kejohanan silat. Nadhirah dan kembarnya, kedua-dua mereka berpenampilan berpurdah.

Kongsi Nadhirah, kenangan manis yang paling tidak akan dapat dilupakan adalah ketika dia dan pasangan kembar serta kedua-dua abangnya bertanding dalam pasukan sama pada tahun 2019.

“Alhamdulillah, antara kemenangan yang kami dapat adalah pertandingan di Majlis Sukan Malaysia (Masum) 2024 iaitu kami berjaya membawa pulang pingat emas dan pingat perak.

“Di Kejohanan Silat Kebangsaan 2023 pula, kami berjaya mendapat tempat pertama serta kembar saya dinobatkan sebagai pesilat terbaik wanita di kejohanan tersebut,” ujarnya.

Nadhirah bersyukur atas kemenangan yang diterima dalam setiap pertandingan silat dan merasakan ia berbaloi dengan pengorbanan selama ini.

“Ibu bapa saya merupakan pendorong utama saya menyertai dan memenangi setiap kejohanan ini.

“Tidak dilupakan juga kepada jurulatih, pengurus silat dan rakan-rakan yang turut mendorong saya dalam kejayaan ini,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, anak ketiga daripada lima beradik itu berharap agar setiap pelajar terutama wanita belajar seni mempertahankan diri.

“Ia mungkin tidak dilihat penting pada ketika ini, tetapi amat diperlukan pada masa depan.

“Ini kerana, seni silat adalah satu seni pertahanan diri yang amat digalakkan dalam Islam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI