fbpx

Euro 2024: Ronaldo ‘diserang’ peminat fanatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO (tengah) menjadi sasaran peminat yang masuk ke padang untuk bergambar dengannya ketika menentang Turkiye awal pagi semalam. - AFP

DORTMUND – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta satu lagi rekod peribadinya apabila menyamai pencapaian bekas bintang Republik Czech, Karel Poborsky selaku pemain yang mencipta bantuan jaringan terbanyak dalam sejarah Kejohanan Euro.

Ketika menang 3-0 ke atas Turkiye, Ronaldo mendapat pujian kerana tidak bersikap tamak, sebaliknya melakukan umpanan kepada Bruno Fernandes meledak gol ketiga skuad Selecao pada aksi kedua Kumpulan F di Signal Iduna Park awal pagi semalam.

Ia mengesahkan bantuan jaringan kelapan Ronaldo dalam enam penampilannya di pentas Euro sekali gus melayakkan Portugal ke pusingan kalah mati meskipun berbaki satu perlawanan lagi.

Bagaimanapun, pencapaian Ronaldo dibayangi insiden penyokong yang bertindak menyerbu ke padang untuk bergambar dengannya dan membuatkan pengurus Portugal, Roberto Martinez bimbang tentang keselamatan anak buahnya itu.

“Kita semua suka apabila peminat mengiktiraf seseorang ikon besar yang bermain di negara mereka. Ini adalah satu kebimbangan, namun kami bernasib baik kerana tidak ada penyokong yang berniat jahat.

“Saya fikir kita semua bersetuju tentang perkara ini tetapi kamu juga boleh faham ia akan jadi sukar sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

“Pemain terdedah dengan risiko dan kita perlu lebih berhati-hati. Mungkin kita harus berikan mesej kepada peminat bahawa tindakan menyerbu ke padang bukan perkara yang betul, mereka tidak akan dapat apa-apa dan mungkin akan jadi lebih teruk pada masa akan datang,” katanya.

Dua lagi gol bekas juara Eropah 2016 itu dalam aksi tersebut dihasilkan oleh Bernardo Silva dan jaringan sendiri pemain Turkiye, Samet Akaydin.

Sementara itu, Silva mengakui kurang selesa apabila permainan sering dihentikan, namun akur semua itu adalah lumrah bagi seseorang bintang dunia.

“Saya tidak begitu risau, namun agak menjengkelkan apabila permainan sering dihentikan kerana ada penyokong memasuki padang. Tetapi itulah harga yang kita perlu bayar untuk jadi seseorang yang diiktiraf dalam dunia bola sepak,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI