fbpx

Euro 2024 : Hungary nyalakan peluang ke pusingan 16 selepas atasi Scotland 1-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penjaga gol Scotland, Angus Gunn menumbuk keluar bola dan dilihat berlaku pelanggaran dengan pemain Hungary, Barnabas Varga. -AFP

STUTTGART – Peluang Hungary untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir Euro 2024 terus terbuka selepas jaringan lewat Kevin Csoboth pada minit ke-10 masa kecederaan terakhir membolehkan mereka meraih kemenangan 1-0 ke atas Scotland, sebentar tadi.

Bagaimanapun, perlawanan terakhir Kumpulan A itu tidak berlangsung dengan baik apabila penyerang Hungary, Barnabas Varga terpaksa diusung keluar selepas berlaku pelanggaran dengan penjaga gol Scotland, Angus Gunn pada minit ke-68.

Varga yang terjatuh kelihatan tidak bergerak dan rakan sepasukannya meminta rawatan perubatan segera sebelum diusung keluar untuk mendapat rawatan selanjutnya.

Pemain Hungary dilihat memegang kain ketika penyerang, Hungary Barnabas Varga (bawah) terjatuh selepas berlanggar semasa perlawanan Euro 2024 Kumpulan A antara Scotland dan Hungary di Arena Stuttgart. -AFP

Insiden negeri itu tidak mematahkan semangat pemain Hungary apabila gol lewat Csoboth menghidupkan peluang mereka pada kejohanan itu untuk berada di kedudukan ketiga Kumpulan A dengan tiga mata ekoran dua kekalahan mereka sebelum ini.

Bagi Scotland ia adalah penamat mengecewakan buat mereka selepas mencatat tiga kekalahan berturut-turut dalam kempen Euro 2024 sekali gus menutup impian mereka untuk layak ke pusingan kalah mati kejohanan utama buat kali pertama.

Hasil keputusan tersebut, Jerman muncul selaku juara Kumpulan A selepas seri 1-1 dengan Switzerland, yang layak sebagai naib juara.

Pemain Hungary meraikan kejayaan selepas memenangi perlawanan bola sepak UEFA Euro 2024 Kumpulan A antara Scotland dan Hungary di Arena Stuttgart di Stuttgart pada 23 Jun 2024.

Ketika ini, Hungary terpaksa bergantung harap kepada keputusan dalam kumpulan lain jika mereka mahu layak sebagai satu daripada pasukan tangga ketiga terbaik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI