fbpx

Euro 2024: Belgium mampu kembali mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELGIUM kembali menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati selepas menang 2-0 ke atas Romania awal pagi semalam. - AFP

COLOGNE – Jurulatih Belgium, Domenico Tedesco mendakwa mereka mempunyai potensi yang sangat besar pada Euro 2024 selepas kembali menghidupkan peluang menerusi kemenangan penting 2-0 ke atas Romania di Rhein Energie Stadion awal pagi semalam.

Red Devils berada di ambang penyingkiran jika kalah di Cologne, tetapi Youri Tielemans mengurangkan ketegangan itu dengan gol dalam masa hanya 73 saat.

Gol lewat daripada Kevin De Bruyne mengukuhkan kemenangan pertama Belgium dalam Kumpulan E selepas mereka mengalami kekalahan mengejut 0-1 kepada Slovakia pada perlawanan pembukaan sebelum ini.

Selepas tersingkir daripada Piala Dunia 2022 di peringkat kumpulan dan gagal melepasi suku akhir pada dua edisi Euro terakhir, ramai pamerhatian mempersoalkan kemampuan generasi emas Belgium.

Namun, Tedesco yakin mereka boleh memberikan impak besar jika layak ke peringkat kalah mati, namun perlu memastikan kemenangan ke atas Ukraine pada aksi terakhir Kumpulan E awal pagi Khamis ini.

“Kami mempunyai potensi yang sangat besar. Mari kita lihat, perlawanan terakhir akan menjadi sukar.

“Kami sangat lega berjaya menang. Ia sangat penting untuk mendapatkan tiga mata. Untuk baki kejohanan, kami bebas (daripada tekanan) dan gembira,” katanya.

Bagi Belgium untuk ke peringkat seterusnya, Tedesco mengakui mereka perlu ada sifat pembunuh selepas mensia-siakan banyak peluang menentang Romania termasuk dua gol Romelu Lukaku yang dibatalkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam aksi itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI