PETALING JAYA – Pembayaran tanpa tunai atau cashless menjadi pilihan sebilangan besar peniaga terutama di Lembah Klang kerana dianggap lebih selamat dan cepat.
Tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati, lebih 70 peratus daripada 500 premis perniagaan yang dikunjungi menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai dalam urusan jual beli mereka.
Kira-kira separuh daripada premis itu menetapkan mod cashless only.
Kebanyakan premis yang menerima bayaran tanpa tunai itu adalah rangkaian restoran makanan segera, kiosk jualan, kedai alat komunikasi dan barang elektrik, malah ada peniaga pasar malam turut menggunakan kaedah sama.
Seorang peniaga, Zainuddin Akhir, 38, berkata, dia menetapkan kaedah cashless only sejak 2022 apabila melihat trend pelanggan yang membayar tanpa tunai meningkat.
“Kaedah itu dilihat lebih selamat, cepat dan memudahkan kedua-dua pihak. Kami tidak perlu bimbang baki yang perlu dipulangkan tidak mencukupi.
“Selepas pandemik Covid-19, ramai pelanggan memilih bayaran tanpa tunai bagi mengelakkan sentuhan. Jadi saya menetapkan kaedah itu di premis saya, dapat kurangkan bilangan pekerja di kiosk. Saya boleh pantau pembayaran dari rumah,” katanya.
Sementara itu, pemilik pusat hiburan, Nurul Zawanah, 35, berkata, selain memudahkan pelanggan, transaksi pembayaran tanpa tunai membantu mengurangkan risiko menerima duit palsu dan penipuan.
“Jika tidak mahir tiada masalah ada staf yang akan beri tunjuk ajar. Bagi saya ia lebih mudah dan urusan syarikat juga menjadi lebih teratur,” katanya.
Dalam pada itu, jurujual, Norashikin Abdul Nasir, 27, mengakui dia lebih selesa menerima pembayaran cashless kerana kurang risiko tersalah mengira wang baki pelanggan. – KOSMO! ONLINE