fbpx

Dewan Rakyat: Malaysia sokong cadangan gencatan senjata AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Parlimen - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong penuh sebarang resolusi oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dapat menghentikan kekejaman rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia termasuk cadangan penyelesaian gencatan senjata meliputi tiga fasa yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

“Baru-baru ini satu cadangan penyelesaian gencatan senjata yang berfasa iaitu tiga fasa yang ditaja oleh AS telah pun diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB. Sebanyak 14 negara menyokong dan satu berkecuali.

“Kita menyokong penuh usul yang dilakukan termasuk bermula daripada Perjanjian Oslo 1993 dan Taba, Mesir 1995 demi untuk kita selesaikan isu Palestin.

“Kita akan terus sokong apa jua usaha termasuk usaha menyelesaikan konflik di Palestin melalui kaedah Penyelesaian Dua Negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) sejauh mana hasrat kerajaan untuk menyemak semula dasar Penyelesaian Dua Negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.

Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Mohamad berkata, perkara yang penting ketika ini adalah pembunuhan terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan terlebih dahulu.

Kata beliau, isu berhubung hak rakyat Palestin untuk mendapatkan pilihan raya dan sebagainya merupakan perkara yang kedua atau ketiga kerana rejim zionis Israel masih membunuh rakyat Palestin ketika ini.

“Memang benar hak rakyat Palestin perlu kita dengar, tetapi apa yang penting sekarang pembunuhan mesti diberhentikan dulu.

“Soal rakyat Palestin nak buat pilihan raya atau tidak itu soal kedua atau ketiga, pembunuhan mesti dihentikan sekarang.

“Jadinya resolusi yang diterima Majlis Keselamatan PBB mesti dikuatkuasakan dan AS yang mengusulkannya, maka AS mempunyai tanggungjawab penuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI