fbpx

Dewan Rakyat: Kerajaan sedang kenal pasti dalang bantu kumpulan Sulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina semasa di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Terdapat dalang dan penderhaka dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong dan membantu tuntutan kumpulan Sulu keatas kepentingan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalang itu memainkan peranan membantu menyalurkan maklumat kepada kumpulan Sulu.

“Kita tak tahu selepas ni siapa lagi orang yang akan buat (tuntutan) sebab ramai yang mengaku keluarga dan adik beradik, tetapi kita akan membela.

“Tetapi kita tahu adanya dalang dan penderhaka yang menyokong dan membantu dalam tuntutan mereka,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung langkah konkrit memuktamadkan kes tuntutan kumpulan Sulu.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan sedang mengesan dalang dan penderhaka terbabit sebagai salah satu strategi untuk menangani kumpulan berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan dalang dan penderhaka terlibat sekiranya identiti mereka telah dikenal pasti atas faktor strategi dan perundangan.

“Kalau kita sebut dalam dewan, tiba-tiba petualang lari macam mana? Jadi kena sabar kerana proses undang-undang juga tidak sempurna,” katanya.

Beliau seterusnya menegaskan, secara prinsip perlu ada noktah terhadap isu tuntutan kumpulan Sulu, namun ia perlu ditangani berlandaskan perundangan.

“Banyak orang boleh menuntut dan itu sebabnya kita kena betul-betul menentukan bahawa apa pun strategi mesti dilakukan,” katanya.

Malaysia sebelum ini turut menegaskan tidak akan melayan sebarang bentuk tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai United Tausug Citizens (UTC) yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah.

UTC meminta kerajaan Malaysia membuat pembayaran segera sebanyak AS$15 bilion (RM70.2 bilion) yang didakwa mereka sebagai ‘Cession Money’ (Wang Penyerahan Wilayah)

Kumpulan itu juga mahu Malaysia mengiktiraf UTC sebagai ‘kerajaan yang berdaulat dan merdeka’ selain mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI