fbpx

Kapal perang Australia HMAS Anzac tidak sesuai untuk pertahanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled di Dewan Rakyat hari ini. - Foto JPM

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merumuskan kapal perang terpakai kelas frigat HMAS Anzac milik Tentera Laut Diraja Australia tidak sesuai untuk kegunaan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian TLDM merumuskan bahawa kapal yang ditamatkan perkhidmatan pada 18 Mei itu bukan untuk kepentingan kerajaan dan rakyat disebabkan beberapa faktor.

“TLDM rumuskan HMAS Anzac tidak sesuai berdasarkan isu seperti kesamaan peralatan serta kos perolehan yang tidak menguntungkan kerajaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berhubung perolehan kapal perang terpakai tersebut di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, faktor lain HMAS Anzac dianggap tidak sesuai kerana proses perolehan kapal perang terpakai tersebut akan mengambil masa sehingga tahun 2027.

Menurut beliau, pada tahun berkenaan, Malaysia sudah memiliki dua kapal kapal tempur pesisir (LCS) iaitu pertama dan kedua yang akan diserahkan dan mula beroperasi pada 2027.

Terdahulu, beliau mengakui TLDM mengkaji perolehan kapal terpakai sebagai satu pendekatan dalam menghadapi isu kelewatan pembinaan LCS.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan sebelum ini melakukan perolehan tiga kapal misi pesisir (LMS) dari Turkiye yang mana ketiga-tiganya akan siap menjelang akhir 2027.

“Ia menjadikan keseluruhan lima kapal akan mula berkhidmat dengan TLDM pada 2027,” katanya.

Beliau turut memaklumkan status kemajuan pembinaan Kapal LCS2 yang kini sebanyak 64.66 peratus, kapal LCS 3 (56.58 peratus), LCS 4 (51.10 peratus) dan LCS 5 (42.33 peratus)

Kata beliau, kerajaan telah membayar RM7.15 bilion iaitu bersamaan 63.69 peratus berbanding perancangan asal pembayaran iaitu 68.43 peratus berdasarkan kontrak mengikut kemajuan semasa perolehan LCS secara keseluruhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI