fbpx

Dewan Rakyat: 506 taska tidak berdaftar dengan JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 506 taman asuhan kanak-kanak (taska) di negara ini direkodkan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 31 Mei 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menyedari kepentingan dan keperluan kawal selia hal ini, pendekatan yang pelbagai, termasuk notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan telah dikenakan.

“Berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan buah taska telah dikenakan tindakan Lak, 17 telah dikompaun dan dua kes telah didakwa di mahkamah antara tahun 2020 hingga Mac 2024.

“Perkara itu selaras dengan peruntukan Akta 308 iaitu lak, kompaun serta pendakwaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai-Pas)yang ingin tahu mengenai statistik bilangan taska yang dikesan tidak berdaftar dengan JKM dan sejauh manakah tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap taska berkenaan.

Dalam pada itu, Nancy menambah terdapat sesetengah pusat asuhan tersebut yang sebenarnya menepati standard minimum pengoperasian JKM, tetapi tidak berdaftar kerana pelbagai faktor seperti kesukaran menepati syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Justeru, perkara ditangani melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) dan hasilnya sebanyak 189 taska telah dibantu sehingga lulus pendaftaran.

“Bagi taska yang berdepan isu ini, kita mengambil pendekatan untuk membantu mereka dengan memberi khidmat nasihat serta melaksanakan inisiatif memudahcarakan proses permohonan yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan serta PBT.

“Melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah antara September 2023 hingga Mei 2024, sebanyak 189 taska telah dibantu sehingga lulus pendaftaran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI