MELAKA – Seorang deejay di sebuah kelab malam di sini nafi telah menghalang tugas polis, sebaliknya memberitahu dia telah dipukul oleh empat anggota ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Ngo Wei Kian, 26, membuat pengakuan itu melalui peguamnya, Cassian Anthony dalam rayuan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menghalang tugas polis daripada menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam yang sah di sisi undang-undang dengan memecut motokar dinaiki untuk melarikan diri setelah diarahkan berhenti oleh Inspektor Mohamad Asyraf Mohamad Mokhtar.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.20 pagi di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah, pada 21 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Cassian yang mewakili tertuduh kemudian mengemukakan beberapa faktor penafian untuk direkodkan oleh mahkamah.
Menurutnya, sebelum kejadian tertuduh telah menaiki kereta bersama abangnya dan ditahan dalam sekatan jalan raya dijalankan pihak polis. Jelasnya, satu saman telah dikeluarkan kepada pemandu iaitu abang kepada tertuduh.
“Tertuduh telah keluar dari tempat duduk penumpang untuk bertanya saman yang dikenakan terhadap abangnya, namun dia telah ditolak oleh anggota polis sebelum dipukul empat daripadanya menggunakan kaki sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
“Kecederaan dialami tertuduh juga boleh dilihat pada hari ini dan dia telah direman selama empat hari tanpa dibenarkan berjumpa dengan keluarga,” hujahnya.
Tambahnya, mengikut pertuduhan tertuduh didakwa telah memecut kenderaan sedangkan ketika kejadian dia hanyalah penumpang.
Hujah lagi, susulan kejadian itu anak guamnya juga akan membuat laporan di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dalam masa terdekat dan memohon jaminan rendah dapat diberikan oleh pihak mahkamah.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 24 Julai ini sebagai serahan dokuman serta sebutan semula kes.
Terdahulu, tertuduh turut diwakili dua lagi peguam, Kent Tan Chow Teng dan Francis Augustine. – KOSMO! ONLINE