fbpx

Cef Sueha tidak malu berniaga di medan selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cef Sueha menunjukkan menu makanan yang ditawarkan di lot niaga medan selera di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Industri makanan dan minuman (F&B) yang semakin berkembang kini pas­tinya mengundang pelbagai tawaran jawatan daripada pekerja biasa hinggalah kepada cef berpengalaman mahir.

Tiada jalan pintas untuk mencapai ke tahap cef berpengalaman yang boleh mengendalikan sesebuah dapur di hotel, restoran atau premis perniagaan lain.

Ia tidak boleh direalisasikan melalui modal minat yang mendalam tetapi kerja keras, ilmu pengetahuan, pengalaman dan juga paling utama adalah ketahanan mental dan fizikal seseorang itu tidak kira lelaki atau wanita.
Ke mana sahaja individu tersebut akan dipanggil cef meskipun sudah bertukar kerjaya sebagai ahli perniagaan.

Begitulah misi dan perjuangan seorang usahawan muda, Mohd. Azhar Abdul Rahman, 37, atau lebih dikenali sebagai Cef Sueha Abdul Rahman yang telah berkecimpung dalam industri F&B sejak 13 tahun lalu.

Beliau menimba ilmu dan pengalaman daripada peringkat bawahan sehinggalah berjaya memegang amanah sebagai Cef Pastri di salah sebuah hotel lima bintang di Brunei dan seterusnya bekerja di salah sebuah istana milik Sultan Brunei bermula tahun 2010 hingga 2014.

Jodohnya yang terikat dengan wanita dari negara berkenaan juga telah memberi peluang kepada mereka untuk membuka sebuah restoran di sana tetapi terpaksa ditutup dalam tempoh pandemik yang lalu.

“Saya masih menyimpan misi dan impian untuk membuka semula restoran di Brunei pada masa depan, tapi buat masa ini, saya perlu memberi tumpuan kepada bisnes tempatan yang semakin berkembang maju,” katanya ketika ditemui di medan selera Bursa Malaysia di sini baru-baru ini.

Pengalaman berharga memasak untuk kerabat diraja Sultan Brunei itu juga telah membo­lehkan beliau pulang membawa ilmu berharga ke Malaysia untuk bekerja di sebuah hotel lima bintang di Kota Bahru, Kelantan.

Mahu mencapai misinya memasak untuk memenuhi cita rasa kumpulan pelanggan secara runcit, Cef Sueha tekad tinggalkan kerja makan gaji dengan mula mencari peluang mencari rezeki di pelbagai tapak perniagaan sehinggalah bertemu lokasi strategik di tengah pusat bandar raya iaitu di medan selera di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur.

Perniagaan tersebut telah diusahakan sejak tiga tahun lalu dengan menawarkan menu sarapan pagi seperti nasi lemak, nasi dagang dan nasi kerabu hingga makanan tengah hari yang memfokuskan kepada lauk kampung.

Selain itu, lot niaga Cef Sueha itu menjadi perhatian pelanggan kerana juadah mi celup dan kerabu maggi yang menyelerakan.

“Saya tidak malu dengan berniaga di medan selera kerana saya juga pernah menjual di tepi jalan dengan menjual goreng pisang sebelum ini.

“Apa yang penting kini, adalah niat kita untuk menawarkan hidangan yang sedap menyelerakan kepada pelanggan tidak kira di mana sahaja kita berniaga,” jelasnya.

Anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu juga berkata, aktiviti memasak yang dimulakan sejak pukul lima pagi setiap hari kecuali hujung minggu Sabtu dan Ahad biasanya menawarkan lebih daripada 100 juadah yang dijual lebih murah kira-kira kurang 20 peratus daripada harga di luar.

Lebih menarik, lot niaga tersebut juga sentiasa menjadi tumpuan mereka yang suka menikmati pengat pisang dan pelbagai cita rasa bubur.

Cef Sueha menjelaskan, bagi meluaskan cabang perniagaan untuk kelangsungan operasi pada masa depan, syarikatnya juga menawarkan perkhidmatan katering yang terdapat sebuah dapur berpusat di Gombak untuk memenuhi segala tempahan pelanggan meskipun untuk maj­lis bersaiz kecil hingga kepada majlis yang besar.

Sikap ramah tamah, per­khidmatan bersepadu daripada kakitangannya dengan jenama yang terus mengukuh membuatkan katering Cef Sueha sentiasa mendapat tempat dalam kala­ngan pelanggan.

Beliau sentiasa mengetepikan segala permasalahan peribadi dan kesihatannya jika ada dalam soal perniagaan agar pengoperasian kerja berjalan dengan lancar.

“Sesibuk manapun kita pada hari tersebut, jangan sesekali angkat muka kepada pelanggan, kita kena sentiasa senyum dan beramah mesra kepada mereka meskipun pada hakikatnya kita terlalu letih, tak cukup tidur atau ada masalah peribadi lain. Kita perlu layan pelanggan de­ngan sebaiknya,” jelas beliau.

Tambah beliau, jika ikutkan hati muda, mahu sahaja beliau membawa diri mengikut rajuk dihati kerana dugaan dalam dunia perniagaan adalah terlalu banyak tetapi sokongan daripada keluarga dan pekerja serta rakan-rakan karibnya membuatkan beliau kebal mendepani gelombang deras dalam dunia mencabar tersebut.

Aktif menyertai pelbagai aktiviti di bawah kendalian Koperasi Cef Malaysia membuatkan beliau tidak sunyi dalam du­nianya sendiri, malah dapat bertukar-tukar pandangan dan idea daripada cef-cef lain yang lebih berpengalaman dan amatur dalam bidang tersebut.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI