fbpx

Ambil rasuah suspek kes dadah, guna untuk judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
etiga-tiga suspek (dua, tiga dan empat dari kanan) ditahan direman bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Dua pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan ditahan reman selama lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebagai dorongan membantu melepaskan tiga lelaki berkaitan kes dadah pada tiga tahun lalu.

Seorang wanita yang juga isteri salah seorang suspek lelaki berkenaan turut direman empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes sama.

Perintah reman terbabit dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Yuhanis Mohd. Roslan hari ini.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM30,000 daripada seorang lelaki.

Beliau berkata, pemberian rasuah berkenaan dipercayai sebagai dorongan untuk melepaskan tiga rakan lelaki tersebut yang ketika itu sedang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Perbuatan itu disyaki dilakukan pada tahun 2021 sewaktu kedua-dua pegawai kanan agensi penguatkuasaan itu masih bertugas di Terengganu.

“Siasatan awal mendapati wang rasuah terbabit telah digunakan salah seorang suspek yang kini sudah berpindah di Kedah bersama isterinya untuk melakukan pelaburan penjudian dalam talian,” katanya di sini semalam.

Sumber itu memberitahu, siasatan awal mendapati pada awalnya, wang rasuah terbabit dimasukkan ke dalam akaun bank pihak ketiga sebelum dipindahkan ke dalam akaun bank isteri salah seorang suspek.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek telah ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di sini antara pukul 2 petang hingga 5.30 petang semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI