fbpx

[KEMASKINI] 8 Individu ditahan disyaki terlibat militan Daesh, IS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin.

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu termasuk dua wanita dipercayai terlibat militan Daesh dan Islamic State (IS) dalam operasi pada 22 dan 23 Jun lalu.

Mereka yditahan dalam operasi secara serentak di empat negeri iaitu Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan itu dibuat hasil risikan Jabatan Cawangan Khas susulan operasi pada 15, 17 dan 30 Mei lepas.

Kesemua suspek ditahan mengikut Bab VIA – Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan [Akta 574] dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Siasatan awal PDRM terhadap kesemua suspek mendapati wujud ancaman terhadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan (VIP) dan pimpinan tertinggi PDRM.

“Terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi suspek seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional terpelajar,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Saifuddin mengingatkan rakyat Malaysia agar peka terhadap ancaman baharu berbentuk ekstremisme, radikalisme serta keganasan dengan menyalahgunakan perkembangan teknologi selain menjadikan media sosial sebagai medium untuk menyebarkan fahaman membahayakan.

“Kerajaan bertegas bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati bagi unsur ektremisme.

“Pihak berkuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan paling berat ke atas golongan ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menggesa orang ramai, aktivis masyarakat, organisasi serta badan bukan kerajaan, pihak swasta dan semua pihak untuk berkerjasama menggembeleng usaha dalam menangani ancaman ini daripada menggugat keamanan negara.

“Kerajaan memberi jaminan masyarakat umum tidak perlu berasa gusar dengan tahap keselamatan dan ketenteraman Malaysia.

“Hal ini didorong oleh kecekapan dan ketangkasan PDRM menangkis ancaman ekstremisme, radikalisme dan keganasan di peringkat awal yang menjadi manifestasi kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dalam mendepani sebarang ancaman pada setiap masa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI