LAWAS – Seramai 73 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas rumah merekahangus dijilat api di Kampung Pemukat, Jalan Kuala Lawas di sini semalam.
Kejadian yang berlaku pukul 5.47 petang itu turut menyebabkan seorang lelaki berusia 73 tahun melecur di tangan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas digerakkan ke lokasi kira-kira 43 kilometer (km) dari balai, dengan dibantu pasukan BBP Sipitang.
Katanya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati dua daripada rumah tersebut adalah berstruktur kayu, manakala tiga lagi konkrit dan kayu terbakar 100 peratus.
“Pasukan BBP Lawas membentang satu aliran 200 kaki menggunakan pam jentera LFRT, sumber air dari pili bomba berdekatan serta melakukan pemadaman di kawasan hulu untuk menghalang api daripada merebak.
“Satu aliran 200 kaki, satu ‘breaching’ turut dibentang ke hilir untuk memadam dan menghalang kemerebakan api.
“Manakala pasukan BBP Sipitang membentang dua aliran 500 kaki dan 300 kaki, menggunakan sumber air dari pili bomba dan turut melakukan pemadaman di kawasan hilir,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE