fbpx

6 MP Bersatu: ‘Saya ada tempoh 21 hari untuk kaji, beri keputusan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari pada sidang Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menjelaskan beliau mempunyai tempoh selama 21 hari untuk mengkaji dan membuat keputusan mengenai isu kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang sudah diputuskan terhenti keahlian parti mereka serta-merta.

Johari berkata, beliau telah mendapat surat maklum daripada Ketua Whip, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkenaan perkara tersebut dan akan melakukan kajian dalam tempoh 21 hari sebelum keputusan dibuat.

“Saya memang sudah terima surat dari Beluran (Ronald Kiandee) pada Jumaat lalu, jadi saya ada tempoh 21 hari untuk memmbuat sebarang keputusan.

“Saya akan umumkan nanti,” jelasnya ringkas ketika ditanya media di Bangunan Parlimen sebentar tadi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kedudukan kerusi bagi enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal di blok pembangkang.

Kerusi mereka masih dikekalkan di bahagian belakang blok E sejak pertukaran dan perubahan tempat duduk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dikemas kini Parlimen pada sesi persidangan dewan Mac lalu.

Khamis lalu, Ronald Kiandee mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Notis tersebut dikemukakan susulan keputusan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan kosong luar jangka.

Ia selepas DUN pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Jumaat lalu, Anwar memaklumkan, menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memutuskan mengenai isu kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang sudah diputuskan terhenti keahlian parti mereka serta-merta. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI