KLANG – Seramai 384 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diberkas dalam operasi di perumahan flat Jalan Sultan Abdul Samad 38, Bandar Sultan Suleiman di sini, semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, penahanan itu susulan proses dokumentasi dilakukan pihaknya terhadap 1,700 warga asing yang diperiksa dalam Ops Bandar Suleiman tersebut.
Katanya, operasi tersebut aduan orang ramai dan risikan pihaknya selama tiga bulan di lokaliti tersebut.
“Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun dengan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
“Selain itu, turut didapati tinggal di negara ini setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama,” katanya hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan koloni warga asing yang menguasai rumah flat Jalan Sultan Abdul Samad 38, Bandar Sultan Suleiman digempur pihak berkuasa.
Ketika serbuan kebanyakan mereka yang sedang sibuk membeli-belah didapati bertempiaran lari sebelum berjaya dicekup Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sebilangan warga asing bertindak mengunci pintu rumah dan menggunakan alasan mengambil anak bagi melepaskan diri. -KOSMO!ONLINE