JASIN – Tanda tanya kehilangan seorang warga emas berusia 68 tahun yang mesra dengan panggilan Pak Jamal akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di Tasik Biru Chin Chin, di sini, malam tadi.
Menurut Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Chin Chin, Jasmi Ketol, kehilangan warga emas, Jamaludin Abdul Hamid itu disedari oleh penduduk Kampung Chenderah kira-kira pukul 5 petang selepas ternakan ayamnya terbiar di luar reban.
Sehubungan itu, katanya kira-kira 30 penduduk kampung keluar membantu mencari mangsa sebelum salah seorang saksi memberitahu terlihat motosikal serta selipar warga emas itu di tebing tasik kira-kira pukul 9 pagi.
“Selalu waktu petang dia akan masukkan semua ayamnya dalam reban tetapi tadi ternakannya terbiar, jadi penduduk mula berasa bimbang dengan keadaanya dan keluar mencarinya.
“Pak Jamal ini tinggal seorang diri, isterinya telah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu dan sejak itu dia seperti mengalami kemuruangan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambahnya, penduduk kampung kemudian terus menghubungi pihak polis dan bomba selepas khuatir mangsa lemas di tasik berkenaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Kanan II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkta, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7 malam.
Katanya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan Melaka Tengah serta lima unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Selepas hampir dua jam operasi pencarian dilakukan, pukul 9.18 malam tadi kita menemukan satu mayat dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira enam meter daripada lokasi selipar mangsa ditemui.
“Pasukan PPDA telah membawa naik mayat tersebut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan pengecaman dibuat oleh waris iaitu adik-beradik mangsa serta anak buahnya,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa telahu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat yang akan dilakukan di Unit Forensik Hospital Jasin. – KOSMO! ONLINE