CHANGLUN – “Saya hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah apabila nampak bumbung rumah terangkat sebelum diterbangkan angin sehingga ke kawasan bendang sejauh 200 meter”
Demikian kata Rokiah Musa, 74, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Changhai, di sini hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu dia masih belum tidur dan berada di ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi deruan angin yang kuat.
“Saya terkejut apabila nampak bumbung di ruang tengah dan dapur rumah terangkat serentak. Pada masa itu, saya hanya teringat untuk mengucap dua kalimah syahadah sahaja.
“Selepas itu saya bersama seorang anak dan cucu perempuan berlindung di dalam sebuah bilik di hadapan ruang tamu rumah,” katanya.
Ujarnya, sebaik sahaja keadaan reda, dia keluar melihat keadaan rumah dan mendapati kesemua bumbung di ruang tengah dan dapur sudah tiada. – KOSMO! ONLINE