PETALING JAYA – Trend merapatkan muka pada skrin yang tular di media sosial TikTok baru-baru ini, boleh mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.
Ini kerana tindakan tersebut dianggap boleh membuang sifat malu serta menjatuhkan maruah seseorang.
Penceramah terkenal, Ustazah Asma’ Harun berkata, ia boleh menjadi bahan kepada individu yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan perbuatan menjijikkan.
Ustazah Asma’ menjelaskan, perkongsian video seumpamanya yang dikongsi secara umum boleh mencetuskan ‘soft porn’, sekali gus mendatangkan dosa dan hukumnya adalah haram.
“Suara yang lembut sahaja pun sudah dilarang, inikan pula dengan gaya menggoda dan wajah yang didekatkan dengan skrin.
“Allah SWT melarang perbuatan tersebut di dalam surah al- Ahzab ayat 32 “Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik,” katanya.
Baru-baru ini, tular di TikTok apabila seorang pempengaruh terkenal memuat naik video seolah-olah mengajak penonton mendekatinya bagi mendengar nasihat yang ingin disampaikan. – KOSMO! ONLINE